Saturday, February 5, 2011

SEJARAH SEKOLAH

SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Agama Menengah Muhammadiah Pekan Sabak adalah kesinambungan Sekolah Agama Menengah Batu 40. Sekolah ini bermula dari Kelas Menengah Darjah Khas Batu 36 Sekendi yang ditubuhkan pada tahun 1960. Pada tahun 1962 sekolah ini berpindah ke bangunan Madrasah Muhammadiyyah Batu 40 Sabak Bernam dengan kerjasama pihak yang berkaitan dan ehsan waris-waris al-marhum Tuan Haji Muhammad yang telah membina separuh madrasah tersebut.
            Pada tahun 1968 madrasah tersebut mendapat dua blok bangunan baru di tapak tersebut yang diwakafkan oleh waris-waris Tuan Haji Muhammad. Satu lagi bangunan telah ditambah pada tahun 1984. Akhirnya sekolah ini mempunyai 4 bangunan yang mempunyai 15 bilik darjah yang memuatkan lebih 500 orang pelajar dengan 36 orang guru. Sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Agama Muhammadiyyah Batu 40 sempena nama al-marhum Tuan Haji Muhammad.
            Bertepatan dengan perkembangan dan permintaan yang mendesak dari penduduk tempatan dan permohonan dari kawasan bandar untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah agama, maka Kerajaan Negeri Selangor telah berusaha membina sekolah baru yang lengkap dengan segala kemudahan. Akhirnya pada 1 Ogos 1999 kerajaan Negeri Selangor telah membuat pecah tanah untuk tujuan itu. Pada 1 Ogos 2003, sebuah kompleks sekolah agama telah siap dan dinamakan Kompleks Sekolah Agama Muhammadiah Pekan Sabak, Sabak Bernam.
            Pada tahun 2003, bilangan tenaga pengajar hanya seramai 23 orang. Bilangan ini bertambah dari setahun ke setahun selaras dengan bilangan pelajar yang berjumlah 814 orang pada tahun 2008. Pada tahun 2008 bilangan kakitangan berjumlah 10 orang dan bilangan guru berjumlah 55 orang.
            Pada tahun 2006, pihak Jabatan Agama Islam (Bahagian Pelajaran JAIS), Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (Kementerian Pelajaran Malaysia), telah membuat MoU. Sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.
            Dari setahun ke setahun bilangan guru dan kakitangan sekolah saling bertukar ganti dan bilangan kakitangan yang bertugas semakin meningkat. Begitu juga dengan bilangan pelajar yang semakin bertambah. Pada tahun 2010, sekolah ini telah memperkenalkan 1 kelas Tingkatan 6 STAM. Selaras dengan itu bilangan guru telah bertambah kepada 68 orang guru dan 14 kakitangan. Jumlah pelajar telah bertambah sebanyak 848 orang pelajar. Pada tahun 2011, kelas STAM telah bertambah kepada 2 kelas. Bilangan pelajar bertambah kepada 946 orang pelajar.

0 comments:

Post a Comment